Wednesday, June 22, 2011

22 Jun 2011

Assalamualaikum Buah Hati Mama,

Semalam Mama ke Hospital Sungai Buloh untuk diambil darah bagi mendapatkan bacaan uric acid dan creatinine Mama. Sekejap sahaja prosedurnya dan tiada apa-apa yang menarik berlaku semalam, jadi Mama rumuskan bersama dengan apa yang berlaku hari ini.  Pagi tadi, Mama dan Papa ke Klinik Antenatal di Hospital Sungai Buloh untuk berjumpa pakar O&G.  Berdebar-debar rasanya menunggu giliran... tak pasti bagaimana keputusan darah Mama, berdebar untuk melihat Sayang di dalam rahim Mama dan berdebar menunggu apa jua kata pakar. Sudahnya, bacaan tekanan darah Mama tinggi sedikit daripada biasa, mungkin juga kerana Mama baru sahaja bersarapan (alasan nak sedapkan hati hehehe).

Tiba giliran, Papa menemani Mama ke bilik rawatan 5.  Yang menunggu di bilik tersebut ialah seorang doktor lelaki, muda dan berbangsa Cina.  Dr. Hoe Kah Seong namanya. Dr. Hoe meneliti Buku Merah Mama dan laporan-laporan oleh doktor-doktor EPAU yang merujuk kes Mama ke klinik antenatal.  Perkara pertama yang disebut sudah pastinya tekanan darah Mama. Tetapi setelah melihat preskripsi ubat dan bacaan harian tekanan darah yang Mama buat, doktor sangat berpuas hati kerana tekanan darah Mama terkawal, Alhamdulillah.  Seterusnya, berkaitan diabetis...tak banyak yang doktor perkatakan kerana Mama masih belum melalui prosedur BSP yang dijadualkan pada 28 Jun ini.  Doktor meminta Mama menjalani prosedur BSP setiap 2 minggu. Akhirnya barulah doktor membincangkan keputusan ujian darah Mama semalam. 

Alhamdulillah, bacaan uric acid Mama menurun daripada 360 ke 280.  Bacaan creatinine Mama pula walaupun tiada banyak perbezaan tetapi kerana ujian urine Mama bebas daripada albumin dan protein, doktor menyatakan tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana bagi seseorang yang normal dan tidak mengandung, bacaan creatinine itu adalah normal. Alhamdulillah, syukur ke hadratMu Ya Allah. Kemudian, masa yang dinanti-nantikan tiba...doktor meminta Mama dan Papa ke bilik sebelah untuk prosedur ultrasound.  Yeay! Mama leh tengok Sayang! Mama baring di atas katil rawatan dan doktor menyapu gel ke perut Mama. Mama sangat teruja di samping rasa berdebar. Bila doktor mula mengoles-oles scanner ultrasound tersebut, Mama lafazkan Bismillah dan perkara pertama yang Mama dapat lihat ialah kepala Sayang. Doktor menerangkan Sayang membesar dengan sempurna, tiada masalah buat masa ini. Kemudian doktor mula mengukur Sayang berpandukan bayang Sayang yang tertera di monitor mesin ultrasound itu. Doktor juga menunjukkan kepada Mama dan Papa tulang kaki Sayang yang kelihatan semasa doktor ingin mengukur panjang Sayang ketika ini. Alhamdulillah...Sayang kini berusia 15 minggu 4 hari, berukuran hampir 12cm dan seberat 113g. 

Kembali ke bilik rawatan, doktor menyatakan tiada apa yang perlu Mama dan Papa bimbangkan. Doktor juga menerangkan, Mama tidak perlu hadir ke klinik antenatal setiap 2 minggu. Tambahan pula menurut kata doktor, dalam masa 2 minggu, tiada banyak perubahan yang dapat dikesan atau dilihat pada perkembangan Sayang. Jadi, doktor meminta Mama kembali semula ke klinik pada 20 Julai, dan pada 15 Julai Mama perlu menjalani prosedur ambil darah untuk bacaan uric acid dan creatinine. Seterusnya, untuk mengawal tekanan darah dan gula dalam darah Mama, doktor mencadangkan Mama menghadiri kelas pemakanan oleh dietitian HSB pada 24 Jun ini. Doktor menegaskan, sekiranya terdapat peningkatan yang mendadak dalam bacaan uric acid dan creatinine Mama semasa sesi review pada 20 Julai nanti, baharulah doktor akan menyarankan langkah-langkah yang berikutnya. Buat masa ini, Mama hanya perlu meneruskan preskripsi ubat Aspirin, Calcium Carbonate dan Obimin yang dibekalkan. InsyaAllah Sayang, kita akan dapat meneruskan kehamilan ini sehingga tiba saatnya, mata mu dan mata ku bertemu. Moga Allah memberikan kita kesihatan dan kekuatan dalam mengharungi tempoh kehamilan yang menginsafkan ini, insyaAllah.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim syukurku ke hadratMu atas segala nikmat yang telah Kau kurnikan kepada hambaMu ini. Sesungguhnya hanya kepadaMu ku berserah kerana ku yakin bahawa Engkaulah Yang Maha Mengetahui akan segala yang tersembunyi baik di langit mahupun di bumi. Alhamdulillah...

Thursday, June 16, 2011

16 Jun 2011 Part II

Salam Sayang,

Tepat jam 10 pagi, Mama menuju ke bilik 9 untuk diuji sekali lagi paras gula dalam darah Mama. Nurse Amizan yang bertugas ketika itu. Jari Mama dicucuk menggunakan lancet, dan sampel darah diletakkan ke atas strip yang disambung pada glucometer. Bacaan sebelumnya semasa berpuasa adalah 5.7, dan selepas meminum 12 sudu glukos yang dibancuh di dalam segelas air, bacaan yang dicatatkan adalah 10.8. Memang sah Mama mendapat kencing manis untuk ibu mengandung. Nurse Amizan memberi nasihat supaya Mama mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman. Nampaknya, kita berkongsi air masak sahajalah ye Sayang. Ais krim pun terpaksa kita lupakan...nasib baik kita dah makan hari tu kan sayang? Cuma air biru jualan Mak Ngah je yang kita tak dapat minum. Papa dah beri amaran...tak boleh! Hehehe...

Selepas itu, berat badan Mama ditimbang, ada pertambahan setengah kilogram. Tekanan darah juga diambil, tapi bacaannya agak tinggi hari ini...mungkin sebab Mama saspens atau cuff untuk blood pressure monitor itu kecik. Selalunya kalau di HSB, jururawat di sana akan menggunakan blood pressure monitor dengan cuff yang besar. Selepas itu Mama di minta ke bilik 8 untuk berjumpa Dr. Sara. Dr. Sara bertanya kenapa tekanan darah Mama tinggi hari ini...hmmm mane la Mama tau Sayang, selalunya Mama ambil bacaan setiap malam di rumah, elok je.  Mama hanya senyum, Dr. bertanya sama ada Mama telah mengambil ubat darah tinggi pagi itu, Mama memberitahu Dr. bahawa pakar di HSB menyuruh Mama berhenti mengambilnya dan Mama menunjukkan bacaan-bacaan tekanan darah yang Mama ambil setiap hari dan Dr. berpuas hati... tekanan darah Mama normal, alhamdulillah. Berkaitan paras gula dalam darah Mama, hmm bertambah satu lagi prosedur untuk Mama. Setiap 2 minggu, Mama perlu ambil bacaan gula dalam darah sebanyak 4 kali sehari iaitu pada jam 8.00 pagi, 10.00 pagi, 2.00 petang dan 8.00 malam. Nasib baik 2 minggu sehari sahaja, kalau tak, mau hancur hujung jari Mama dicucuk lancet.

Dr. Sara ada berpesan supaya Mama menjaga kesihatan dan pengambilan makanan Mama. Kata Dr., kalau tekanan darah Mama tinggi, Mama berisiko untuk diserang sawan tarik. Kalau gula dalam darah Mama terlalu tinggi, risiko untuk bayi meninggal dunia dalam kandungan sangat tinggi.  Mama redha Sayang...lengkap pakej Mama ni...darah tinggi, kencing manis, uric acid tinggi. Kita usaha sama-sama ye Sayang? Mama tahu anak Mama kuat semangat juang untuk terus hidup di dalam rahim Mama untuk dilahirkan sebagai seorang khalifah. Malam tadi semasa Papa memicit kepala Mama yang pening, Mama tanyakan Papa..."Abang, anak kita ni kuat, kan Papa?" Papa jawab, "Baby kita kuat, insyaAllah Mama." Sayang jangan putus asa ye, Mama bantu Sayang sehingga ke akhirnya, Sayang. Usai solat Mama sentiasa berdoa, memohon kepada Allah SWT moga kita diberikan kekuatan dan kesihatan untuk meneruskan kehamilan ini. 

Selasa ini (21/6/2011) Mama akan ke HSB untuk diambil sampel darah untuk ujian uric acid dan keesokannya (22/6/2011) Mama dan Papa akan bertemu doktor di klinik antenatal untuk melihat perkembangan Sayang dan juga keputusan ujian uric acid Mama. Tak sabar rasanya nak tengok Sayang...dah hampir 2 minggu Mama tak lihat kelibat Sayang, rindunya! Semoga Allah SWT melindungi Sayang selalu. Mama dan Papa sayangkan Sayang...permata hati kami   :-) 

Wednesday, June 15, 2011

16 Jun 2011

Salam Anak Mama,

Hari ini Mama ada temujanji di KKK. Mama kena minum air gula untuk menguji kandungan gula dalam darah Mama. Alhamdulillah rasanya tak seteruk mana. Mungkin Mama dah terbiasa minum minuman manis. Rasa manisnya lebih kurang macam rasa manis air minuman di rumah Onyang Rahmah. Semoga Onyang panjang umur dan Sayang selamat dilahirkan, boleh Sayang berjumpa Onyang nanti, insyaAllah.

Hari ini Papa ada menemani Mama tapi buat masa sekarang Papa pulang ke rumah untuk menghantar sarapan untuk Nenek. Tambahan pula Mama diminta untuk berehat di bilik 11. Pasti Papa kebosanan di luar. Mama terpaksa menunggu sehingga 2 jam sebelum diuji paras gula dalam darah sekali lagi. Ramai juga ibu mengandung bersama Mama. Tapi mata Mama mengantuk sangat dan kepala Mama pening...disebabkan gula tadi ke atau sebab perut Mama kosong. Sampai sini dulu ye Sayang. Mama sambung lagi nanti. Mama nak rehatkan kepala yang pening ini.

Tuesday, June 14, 2011

9 Jun 2011

Assalamualaikum Sayang,

Hari ini Mama akan mengetahui keputusan ujian darah Mama semalam.  Berdebar-debar rasa hati ini namun tidak putus-putus doa Mama agar semuanya dalam keadaan yang baik. Hanya kepada Allah Mama mengadu, kepada Papa Mama berkongsi masalah dan kepada keluarga serta rakan-rakan Mama merayu doa moga anak Mama dapat bertahan sehingga selamat dilahirkan.

Mama sendirian hari ini ke EPAU.  Papa terpaksa menghadiri mesyuarat di pejabatnya jam 9.00 pagi walaupun dalam keadaan berat hati.  Mama yakinkan Papa yang segalanya insyaAllah akan baik-baik sahaja dan Mama insyaAllah larat untuk menguruskan diri Mama sendirian di hospital nanti. Tersenyum Mama pabila Papa meninggalkan rumah ke pejabat pagi itu dengan senarai panjang nasihat dan larangan untuk Mama.  "Jangan ikut tangga, takde sape nak pimpin" dan pelbagai jangan itu, jangan ini. Mama akur....kasihnya Papa kepada kita, Sayang.  Mama tiba di tempat letak kereta pada jam 9.30 pagi. Alhamdulillah, tak banyak kereta pada pagi ini. Di kaunter pendaftaran, jumlah ibu yang sedang menunggu saat melahirkan juga kurang.  Mama berkata dalam hati, insyaAllah sekejap sahaja hari ini barangkali. Setelah mendaftar, Mama terus ke bilik rawatan EPAU dan mendapati terdapat 8 orang ibu mengandung yang sedang menunggu giliran. Hmm...sangkaan meleset, pasti sampai ke tengah hari ni. Seperti biasa, Nurse Norliza akan menegur.  "Johana hari ni review keputusan darah semalam, kan?" Mama mengiakan dan mengingatkan Nurse Norliza bahawa Mama diminta memberi sampel urine pagi itu untuk ujian albumin.  Nurse Norliza memberikan bekas dan meminta Mama menggunakan tandas di bilik 6. Selesai urusan di tandas, Mama serahkan botol sampel kepada Nurse Norliza dan tekanan darah Mama diambil. Dua kali Nurse Norliza mengambil tekanan darah Mama, tetapi bacaannya agak tinggi.  Tidak berpuas hati, Nurse Norliza meminta Mama berbaring dan berehat sebentar di katil kecemasan. Mungkin Mama kepenatan berjalan jauh dari tempat letak kereta ke EPAU.  Kalau guna tangga, lebih dekat...tetapi Mama ingat dan patuh akan pesan Papa.  Jadi, terpaksa ikut jalan yang agak jauh sedikit...laluan ambulans! kerana EPAU bersebelahan dengan Bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Sungai Buloh. Setelah berehat di katil beberapa minit, Nurse Norliza datang semula untuk mengambil bacaan tekanan darah. Alhamdulillah, bacaan tekanan darah Mama normal.

Mama kembali menunggu di bilik rawatan EPAU. Sambil menunggu, Mama tidak henti-henti berzikir Ya Musawwir sambil mengusap Sayang dari luar perut Mama. Ada juga pesakit yang ramah ingin berbual-bual, entahlah Sayang, bukan Mama sombong tetapi Mama lebih selesa dibiarkan sendiri sambil berzikir. Mama terlalu saspens barangkali. Lepas seorang demi seorang pesakit dipanggil, jam 10.45 pagi, tibalah giliran Mama. Hati berdebar-debar seiring langkah Mama ke bilik rawatan...Ya Allah, bantulah hambaMu ini. Doktor meminta Mama baring di katil rawatan untuk membuat ultrasound. Sambil-sambil itu Doktor bersoal jawab mengenai sejarah kes Mama dengan pegawai perubatan. Doktor meletakkan gel dan mula mengoles-oleh perut Mama. Alhamdulillah, jantung Sayang masih berdegup dan perkembangan Sayang adalah normal. Seterusnya, Doktor mula membincangkan keputusan ujian darah Mama. Bacaan uric acid Mama masih tinggi, bahkan meningkat daripada minggu sebelumnya walaupun sedikit.  Tetapi Alhamdulillah, bacaan creatinine menurun. Bacaan uric acid Mama walaupun normal dalam keadaan biasa, tetapi untuk ibu mengandung, bacaan sebegitu patutnya pada minggu ke 30 kehamilan, sedangkan Mama baru hamil 13 minggu. Doktor Salini menerangkan sekiranya bacaan uric acid Mama semakin meningkat, akan memberi risiko kepada bayi di dalam kandungan. Katanya, chances for baby to survive sangat tipis. Allah hu Akbar! Sayang...Mama tak nak kehilangan Sayang! Beliau juga menyatakan there's nothing much to do since baby is still small...Mama rasa nak menangis di kala itu. Mama bertanyakan sekiranya ada makanan yang Mama kena berpantang makan dan bagaimana Mama boleh mengawal uric acid dalam darah Mama. Dr. Salini menyatakan uric acid is usually associated with gout, but since Mama takde gout, kemungkinan besar the readings is because of the pregnancy. Tetapi sekiranya Mama ingin berpantang seperti pengidap gout, Mama perlu elakkan kekacang, kubis, sardin dan seafood. Apa sahaja Sayang, Mama sanggup...asalkan Mama dapat bantu Sayang bertahan sehingga kita dapat bertemu genap 9 bulan Sayang berada di dalam rahim Mama.

Tidak lama selepas itu, seorang lagi Pakar Sakit Puan yang senior datang ke bilik rawatan tersebut untuk review ujian darah Mama. Tidak banyak perbezaan antara penerangannya dengan Dr. Salini tetapi pakar ini lebih positif orangnya. Mama tak ingat namanya tetapi seorang wanita juga. Despite of apa yang telah Dr. Salini terangkan kepada Mama, pakar yang seorang ini tetap positif...beliau telah memberi preskripsi sejenis ubat untuk Mama yang mengikut kajian, jika diambil bersama Asprin yang telah dibekalkan, akan berupaya membantu Sayang untuk bertahan sehingga 36 minggu di dalam kandungan.  Tetapi Mama perlu mengambilnya sebanyak 4 biji, 4 kali sehari. Mama tak kisah Sayang, apa pun Mama sanggup. Pakar ini juga memberi Mama kata-kata perangsang untuk Mama lebih yakin dan positif dalam membesarkan Sayang di dalam kandungan.  Benar...bacaan ujian darah itu menunjukkan risiko, tetapi beliau mengingatkan Mama akan keagungan Allah SWT. KepadaNya kita berdoa, bermohon dan berserah. InsyaAllah Sayang...kita akan sama-sama berusaha untuk menjayakan kehamilan ini. Mama sangat percaya akan apa jua yang telah dan akan Allah SWT rencanakan untuk kita berdua. Seterusnya, pakar ini telah mengaturkan temujanji bersama pakar sakit puan di klinik antenatal HSB dan meletakkan nota pada BM Mama supaya progress Sayang dipantau melalui ultrasound 2 minggu sekali. Bererti, Mama perlu datang ke klinik antenatal setiap 2 minggu. Mama juga tidak perlu ke KKK untuk regular check up, kerana kes Mama dikategorikan sebagai kes kritikal dan memerlukan pemantauan pakar.  Cuma, Mama perlu ke KKK pada 16 Jun ini untuk ujian diabetis. Mama juga diminta untuk hadir sehari lebih awal sebelum temujanji di klinik antenatal untuk diambil darah kerana Mama perlu menjalani ujian darah setiap 2 minggu, begitu juga sampel urine untuk ujian albumin.

Tak mengapalah Sayang...biar Mama bersusah sekarang, agar Mama dapat menitiskan air mata gembira tatkala mata mu dan mata ku bertemu. Ada hikmahnya kan, Sayang? Sekurang-kurangnya dapat juga Mama melihat perkembangan Sayang setiap 2 minggu instead of sebulan sekali. Hari ini, Mama keluar dari kawasan HSB pada jam 1.00 tengah hari.  Mama keletihan kerana terpaksa berjalan jauh ke farmasi pesakit luar untuk mengambil ubat baru (Calcium Carbonate). Ubat ini hanya terdapat di farmasi pesakit luar, kebiasaannya ubat yang dipreskripsikan di EPAU boleh diperoleh di farmasi Wad Kecemasan.  Terpaksalah Mama berjalan perlahan-lahan.  Akhirnya Mama membuat keputusan untuk mengambil cuti pada hari ini.  Boss juga sudah sedia maklum.

Sekarang ni, Mama berdebar menantikan tarikh 16 Jun untuk ujian diabetis, dan berdebar menanti tarikh 22 Jun untuk temujanji pertama Mama di klinik antenatal. InsyaAllah, Papa akan bersama kita. Sayang tentu nak kenal Papa, kan? Tiap-tiap malam, Papa lah yang mengusap dan bersembang dengan Sayang. InsyaAllah, esok Mama cerita tentang Papa ye...bagaimana kehadiran Sayang merubah kehidupan Papa sekarang dan insyaAllah pada masa akan datang pabila Sayang berada di dalam pangkuan Papa.

Sayang, Allah itu Hebat! Maha Penyayang, Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Kadang-kadang manusia di dunia ini selalu lupa pada Allah, tetapi Allah tetap ingat akan hambaNya, dalam keadaaan serba jahil, pun Allah masih membantu. Moga Allah lindungi Sayang selalu...agar Sayang dapat mengenaliNya dengan lebih mendalam nanti. Mama sayang Sayang...buah hati Mama.

Monday, June 13, 2011

8 Jun 2011

Salam Sayang buah hati Mama, 

Hari ini Mama ke EPAU sekali lagi, Mama perlu ulang prosedur ujian darah. Mama tiba di perkarangan hospital jam 9.00 pagi, tetapi hampir jam 10.00 pagi baru Mama berjaya mendapatkan ruang parking.  Setibanya di lobi, kelihatan ramai ibu yang sedang menunggu saat melahirkan.  Pelbagai rupa, pelbagai ekspresi wajah dan pelbagai ragam. Mama mendaftar di kaunter pendaftaran dan jururawat bertugas menghantar mama ke EPAU.  Ketika itu 4 orang ibu sedang menunggu giliran.  Mama duduk di kerusi sebelum jururawat Norliza menegur Mama. "Johana hari ini ambil darah, kan?" Dek kerana hampir setiap minggu Mama ke EPAU, jururawat di sana telah mula mengenali Mama. Nurse Norliza kembali dengan mesin tekanan darah untuk mengambil bacaan tekanan darah Mama. Alhamdulillah, tekanan darah Mama normal. Lama juga Mama menunggu giliran pagi itu, hampir jam 11.30 pagi, barulah nama Mama dipanggil. Doktor Farah meminta Mama duduk di kerusi dan mengambil darah Mama. Berbanding pegawai perubatan yang lain sebelum ini, Mama terasa sedikit sakit ketika Doktor Farah mengambil darah Mama. Redha je lah Mama. Selesai mengambil darah, Doktor Farah memberi Mama time slip kerana Mama perlu kembali ke pejabat dan meminta Mama hadir kembali ke EPAU keesokan harinya untuk review keputusan.  Apakah keputusannya Sayang? Ya Allah, semoga Kau berikan yang terbaik buat diriku dan anak di dalam kandunganku ini. Amin Ya Rabbal Alamin.

6 Jun 2011

Salam Sayang,

Hari ini Mama ada temujanji di Early Pregnancy Assessment Unit (EPAU) di Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan keputusan ujian darah serta untuk melihat progress Mama selepas seminggu kejadian 'pendarahan'. Papa ada menemani Mama memandangkan Papa masih bercuti. Alhamdulillah, pagi itu perjalanan sangat lancar dan mudah pula mendapatkan tempat letak kereta. Setibanya di EPAU, Mama mendaftarkan diri dan seterusnya terus ke bilik rawatan.  Masa tu ada lebih kurang 4 orang yang sedang menunggu.  Setibanya giliran Mama, doktor memanggil masuk dan meminta Mama baring di katil rawatan untuk ultrasound scan sambil bertanyakan keadaan kesihatan Mama.  Dengan lafaz Bismillah, doktor mula scan dan jelas kelihatan Sayang ketika itu menari-nari di dalam perut Mama. Mama rasa sungguh bahagia dan tatkala doktor menunjukkan Mama degupan jantung Sayang, Mama bersyukur kepada Allah SWT kerana Sayang sihat dan kuat.  Seterusnya doktor pakar datang ke bilik rawatan dan membuat review berkaitan keputusan darah Mama.  Pada pandangan pakar, bacaan asid urik dan creatinine Mama adalah tinggi jika dibandingkan dengan usia kandungan Mama.  Ya Allah, Mama terkedu.  Doktor menyatakan terdapat risiko untuk Sayang dan juga buah pinggang Mama sekiranya bacaan asid urik dan creatinine Mama semakin meningkat sepanjang kehamilan.  Ya Allah, selamatkanlah anakku...itu doa Mama di sepanjang sesi penerangan doktor pakar tersebut. Mama terus menerus berzikir Ya Mussawwir (Yang Membentuk) semoga Allah melindungi Sayang dan semoga Allah terus-terusan membentuk Sayang dengan sempurna di dalam rahim Mama.

Seterusnya, pakar meminta Mama untuk datang semula ke EPAU pada 8 Jun untuk diambil darah sekali lagi dan pada 9 Jun Mama perlu hadir sekali lagi untuk review keputusan darah Mama untuk kali kedua.  Ya Allah, ampunkan segala dosaku...berikanlah daku kesihatan dan kekuatan untuk meneruskan kehamilan ini dan berikanlah kesihatan dan kekuatan buat anak dalam kandunganku ini untuk terus bertahan sehingga selamat dilahirkan.  Amin Ya Rabbal Alamin.... [bersambung]

Tuesday, June 7, 2011

My new blog...

Sorry that I left this blog unattended... Many things happened for the past few weeks, now I am regularly write updates at my new blog.... Dalam Debar Menanti Kehadiranmu . Feel free to browse through ya!

31 Mei 2011

Assalamualaikum Sayang,

Alhamdulillah, setelah mendapatkan rawatan semalam, pendarahan Mama semakin berkurangan.  Hari ini Mak Su masuk lewat ke pejabat kerana menemani Mama untuk mendaftar Rekod Kesihatan Ibu Mengandung a.k.a Buku Merah (BM). Papa tak dapat teman Mama sebab ... Mama terlupa nak ingatkan Papa yang Mama kena daftar BM hari ini hehehe. Mama dah terbiasa uruskan diri sendiri tanpa susahkan Papa, tambahan pula Mak Su menawarkan diri secara sukarela untuk menemani Mama ... Nasib baik Papa telefon untuk bertanyakan khabar Mama, kalau tak, sampai pulang dari pejabat pun Papa tak tau Mama mendaftar BM hari ini.

Mama keluar dari rumah seawal 8.30 pagi dan menuju ke Klinik Kesihatan Sungai Buloh (KKSB) setelah berfikir-fikir sama ada mendaftar di Sungai Buloh atau di Klinik Kesihatan Jalan Tang Lin.  Mama pilih Sungai Buloh kerana berhampiran dengan rumah walaupun kelebihan mendaftar di Jalan Tang Lin akan memudahkan Mama untuk terus ke pejabat selepas pemeriksaan sebulan sekali.  Tak apalah, insyaAllah boss Mama akan faham.  Setibanya di KKSB, parkir hampir penuh, Alhamdulillah, ada seorang pakcik yang kebetulan telah selesai urusan dan Mak Su tiba tepat pada waktunya untuk mengambil alih parkir pakcik itu.  Dari kawasan parkir, Mama dan Mak Su masuk ke KKSB... Subhanallah, umpama lautan manusia di dalam kawasan menunggu. Hampir tiada lebihan tempat duduk untuk pengunjung yang semakin bertambah.  Mama mula terasa rimas, Mama memang tidak gemar dan agak fobia berada di dalam kawasan yang padat dengan manusia.  Mak Su terus ke kaunter klinik ibu mengandung dan bertanyakan prosedur pendaftaran BM untuk Mama.  Jururawat di kaunter tersebut meminta kad pengenalan Mama... Allah hu Akbar! Kad pengenalan Mama tertinggal di rumah! Mak Su memberikan kad pengenalannya kerana alamat kediaman yang sama.  Jururawat tersebut menasihati Mama untuk mendaftar di Klinik Kesihatan Kuang (KKK) berdasarkan alamat yang tertera di kad pengenalan.  Walaupun tiada halangan untuk mendaftar di KKSB, tetapi dek kerana alamat di luar kawasan operasi KKSB, perkhidmatan selepas bersalin tidak akan diberi sekiranya Mama mendaftar di situ.  Mama dan Mak Su membuat keputusan untuk mendaftar di KKK kerana rasanya Mama dan Papa amat memerlukan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengendalikan Sayang selepas Mama selamat bersalin nanti...insyaAllah.

Dari KKSB kami ke KKK.  Setibanya di KKK, Mama terus menuju ke kaunter klinik ibu mengandung dan memaklumkan untuk mendaftar BM.  Jururawat tersebut meminta kad pengenalan Mama...memang dah tertinggal, Mama ingatkan tak mengapa, rupa-rupanya perlu menunjukkan kad pengenalan untuk mendaftar.  Maka pulanglah Mama dan Mak Su ke rumah nenek untuk mengambil kad pengenalan.  Dah ada kad pengenalan, Mama pergi semula ke kaunter dan jururawat meminta Mama untuk duduk sementara proses pendaftaran dan sesi soal jawab bermula. Macam-macam soalan yang ditanya, macam temuduga mohon pekerjaan pulak rasanya tapi Mama jawab satu per satu dengan jujur. Selesai sesi temuduga, Mama diminta untuk menunggu giliran di bilik 6.  Setelah nama dipanggil, Mama melangkah masuk ke bilik 6 bertemu dengan Senior Nurse Maria.  Di bilik 6, darah Mama diambil untuk diuji paras hemoglobin dan jenis darah.  SN Maria rupa-rupanya pernah datang ke rumah semasa Mak Long melahirkan Kak Yayah jadi tiada masalah untuk SN Maria datang ke rumah Nenek untuk menyelia Mama pula nanti, insyaAllah.  Dari bilik 6, Mama diminta untuk ke makmal untuk diambil sampel air kencing dan menghantar sampel darah untuk diuji.  Setelah keputusan diperoleh, Mama diminta ke bilik 7.  Di bilik 7, Mama bertemu SN Azizan pula. SN Azizan memberikan nasihat berkaitan pemakanan dan membekalkan Mama dengan 4 jenis supplement iaitu Ferum, Vitamin C, Vitamin B Complex dan Asid Folic.  Kemudian Mama diminta ke katil rawatan untuk ujian ultrasound degupan jantung Sayang. Jenuh kami mencari degupan jantung Sayang tapi tak ketemu...mungkin Sayang masih kecil maka degupannya masih belum jelas kedengaran.  Dari bilik 7 pula Mama diminta untuk berjumpa doktor di bilik 2.  Mama ke bilik 2 dan bila giliran Mama tiba, doktor sekadar mengesahkan keputusan darah dan air kencing Mama seterusnya meminta Mama kembali semula untuk membuat ujian diabetis berdasarkan appointment yang akan diberi.  Mama ke kaunter ibu mengandung semula untuk membuat temujanji ujian diabetis dan diberi tarikh pada 16 Jun 2011.

Selepas mendapatkan tarikh temujanji, berakhirlah sudah proses pendaftaran BM Mama, alhamdulillah. Mama pulang ke rumah dan Mak Su terus ke pejabat.  Malamnya, Papa bermurah hati untuk memasakkan sup sayur untuk Mama.  Malang Papa sekali lagi apabila di hujung makan malam, pada suapan terakhir Mama telah muntah dan kali ini di meja makan.  Papa jugalah yang terpaksa membersihkan muntah tersebut.  Sayang, Papa lakukan hampir apa sahaja untuk Mama.  Mama sangat terhutang budi pada Papa dan moga Allah membalas segala kebaikan Papa untuk kita berdua dengan kebaikan yang berlipat kali ganda.  Sayang, Papa sangat menyayangi Sayang dan ini jelas tergambar pada setiap perbuatannya semasa Mama hamil.  Semoga Sayang menjadi anak yang patuh dan taat kepada Allah SWT dan rasulNya serta ibu bapa.  Amin Ya Rabbal Alamin.

Friday, June 3, 2011

30 Mei 2011

Sayang,

Mama ke pejabat hari ini dalam keadaan yang tidak selesa. Mama masih lagi batuk, selesema dan semput. Walaupun Papa dan Nenek mencadangkan Mama mengambil cuti pada hari ini, Mama tetap ke pejabat memandangkan doktor semalam tidak mengeluarkan cuti sakit untuk Mama. Mama bertugas seperti biasa dan bergerak seperti sebelum Mama hamil dengan memakai kasut tumit tinggi. Itu sahaja kasut ke pejabat yang Mama ada, Sayang. Dalam keadaan semput, Mama berjaya juga menyiapkan beberapa tugasan. Bila letih, Mama ke bilik rakan sepejabat untuk menhilangkan stres. Sempat juga Mama survey prosedur mendaftar Buku Merah di klinik kerajaan daripada rakan sepejabat yang sedang hamil 5 bulan.

Tepat jam 5 petang Mama punch out dan pulang ke rumah. Sempat juga Mama singgah di Pasar Mini Mutakhir membeli ikan untuk kucing-kucing Mama, membeli surat khabar dan setin Baked Beans untuk dimasak sebagai makan malam. Teringin sangat Mama nak makan Baked Beans hehehe.

Dalam jam 5.40 petang Mama tiba di perkarangan rumah Nenek. Mama beri kucing-kucing makan dan setelah memberi salam kepada Nenek, Mama terus ke tandas. Di tandas, alangkah terkejutnya Mama bila terlihat kesan darah pada seluar Mama! Ketika Mama membuang air kecil dan membasuhnya, mangkuk tandas dipenuhi darah! Ya Allah, selamatkanlah kandunganku! Mama panik! Mama menelefon Papa menggesa Papa supaya segera pulang dan membawa Mama untuk rawatan segera. Mama maklumkan kepada Nenek dan dapat Mama lihat wajah kebimbangan Nenek. Menggigil seluruh badan Nenek melihat darah yang banyak itu. Mama menghubungi pula Mak Long dan Mak Long menggesa Mama mengamalkan doa tahan gugur sementara menanti Papa pulang. Sejurus kemudian Papa menghubungi Mama memaklumkan lalu lintas sangat sesak petang itu dan memohon Mama menghubungi Mak Su dan andai Mak Su masih lagi jauh, Papa memohon jasa baik sepupu Mama untuk menghantar Mama ke klinik. Alhamdulillah, Mak Su lagi 10 minit akan sampai ke rumah. Mama meminta kepastian Papa ke mana Mak Su harus menghantar Mama untuk rawatan dan Papa menyuruh Mama terus ke Bahagian Kecemasan Hospital Sungai Buloh (HSB). Mama hubungi isteri sepupu Mama yang bertugas sebagai doktor di HSB untuk memastikan Mama ke tempat yang sepatutnya untuk rawatan dan diberitahu untuk terus ke wad bersalin.

Mak Su tiba 10 minit kemudian dan membawa Mama ke HSB. Sepanjang perjalanan ke HSB, Mama tak putus-putus berdoa moga kandungan Mama dilindungi. Mama takut kehilangan Sayang...

Setibanya di HSB Mak Su terus menghantar Mama sehingga ke pintu masuk lobi Dewan Bersalin. Sementara Mak Su mencari parkir, Mama menguruskan pendaftaran. Agak rumit kerana Mama belum lagi mendaftar Buku Merah. Jururawat bertugas bertanya mengapa Mama tidak ke Jabatan Kecemasan? Mama jawab, Mama tidak pasti prosedur. Mungkin kerana kasihan melihat wajah Mama yang pucat dan panik, jururawat tersebut mendaftarkan Mama. Prosedur pendaftaran terasa begitu lama, Mama semakin risau. Hampir jam 7 malam jururawat membawa Mama ke bilik rawatan. Mama diminta menyalin kain yang disediakan. Di katil rawatan, Mama terus berdoa moga semuanya baik-baik sahaja. Pegawai Perubatan mula bertanya pelbagai soalan bagi mengenalpasti masalah. Mama jawab sejujurnya. Perut Mama diperiksa, bahagian peranakan juga diperiksa dan Pegawai Perubatan mendapati terdapat sedikit pendarahan di bahagian bawah serviks tetapi masih bersyukur kerana pintu serviks tidak terbuka. Seterusnya Mama terpaksa menunggu pakar O&G untuk membuat ultrasound. Pakar datang ke katil Mama dan membuat imbasan bunyi, syukur Alhamdulillah Sayang masih di situ, jantung Sayang masih kuat dan doktor memberi jaminan Sayang dalam keadaan yang baik, cuma Mama perlu mengambil serbaneka ubat-ubatan untuk terus menjaga kesihatan Mama agar Sayang sentiasa selesa di dalam rahim Mama sehingga harinya Sayang melihat dunia. Apa sahaja Sayang, asalkan mata mu dan mata ku dapat bertemu.

Memandangkan kes Mama telah dirujukkan ke HSB, maka Mama dan Papa membuat keputusan untuk insyaAllah melahirkan Sayang di HSB. Namun, ada satu lagi perkara yang perlu Mama selesaikan esok iaitu...mendaftar Buku Merah. Mama pulang dengan Papa dalam perasaan berdebar namun sentiasa berdoa moga kandungan ini selamat dan dilindungi Allah dari sebarang kejahatan. Semoga kita bertemu nanti ye Sayang... Mama dan Papa amat menyayangi Sayang.

Thursday, June 2, 2011

29 Mei 2011

Sayang,

Mama dan Papa berasa sangat gembira dengan kehadiran Sayang di dalam rahim Mama. Setelah sekian lama kami menanti Alhamdulillah Allah memakbulkan doa kami. Hari ini Mama tak berapa sihat. Setelah melalui trimester pertama bagaikan tidak hamil, hari ini Mama mula selesema dan batuk. Pada mulanya Mama biarkan sahaja kerana kebiasaannya kalau Mama selesema dek kerana alahan bulu kucing, lepas mandi dan tidur untuk seketika selesema itu akan hilang dengan sendirinya. Selesema kali ini tidak begitu... Mama cuba bertahan yang akhirnya membawa kepada batuk dan kesukaran bernafas. Terpaksa pula malam itu Papa bawa Mama ke klinik di Subang Perdana. Di klinik, Mama memberitahu masalah kesihatan Mama dan tentunya memaklumkan doktor akan kehadiran Sayang dalam diri Mama. Doktor memberikan Mama ubat selesema, ubat batuk dan antibiotik di samping memberikan rawatan nebulizer kepada Mama.

Pulang dari klinik, Papa belikan Mama bubur McD untuk santapan malam memandangkan Mama hilang selera dek kerana hidung yang tersumbat. Lepas makan malam, Mama makan ubat yang dibekalkan oleh doktor dengan harapan untuk segera sembuh dan kembali bertenaga. Tetapi apakan daya, sejurus selepas Mama menelan kesemua ubat-ubatan, dengan tidak semena-mena Mama memuntahkan semula semua isi perut yang ada ketika itu. The worst is Sayang, Mama muntah atas sofa Nenek! Pusingan kedua muntah, Mama sempat berlari ke sinki dapur. Kesian Papa, terpaksa membersihkan dan mengeringkan sofa. Nasib baik Nenek tak marah hehehe... Nenek seorang yang kemas dan teratur orangnya, jadi Mama memang risau sebab buat hal kat sofa Nenek. Nenek tak sabar nak jumpa Sayang. Semoga Sayang berpeluang bertemu Nenek nanti, insyaAllah.